…INNOCENCE!


Mukanya aku pandang. Dalam. Cengkung. Hilang kekacakan yang selama ini aku kagumi, timbul pula simpati. Namun atas kesalahan dia sendiri cari. Aku buntu. Kelu. Entah pada siapa harus aku lemparkan silap itu. Entah pada siapa harus aku tawakan dendam ini. Deritanya itu pernah menjadi impian amarahku. Dendamnya itu jugalah kini aku tidak tahu wajarkah menjadi inginku.

“Makan sikit, Rees” sapaku lembut. Mataku menakung air mata. Namun untuk aku titiskan, tidak mungkin.
Dia menggeleng. Matanya memandang aku. Tanpa kedip. Ada persoalan disitu. Aku pasti.
“Makan ye? Aku suka sangat ayam black pepper ni. Sedap. Lama sangat kau tidur. Kita makan ye Rees,”
Begitu mudah hilangnya sengketa andai senyuman dia masih aku damba. Dia masih memandang. Sedikitpun tanpa kedip. Tuhan. Patungkah dia?
“Rees?” aku masih senyum mengharapkan dia membalas perkara yang sama.
“Awak panggil saya apa? Rees?”
Bagai halilintar memanahku. Persoalan apakah itu? Berguraukah dia? Namun dari raut wajah, tentunya tidak. Masih dahsyatkah sengketa? Dalam keadaan kusut, kaki berbalut, muka berparut? Tuhan. Sekali lagi aku raupkan muka. Dugaan apakah ini?
“Aku ni, Syah. Kaukan tak rabun. Janganlah bergurau macam ni. Makan ye? Lenguh aku pegang sudu ni,”
“Saya tak kenal awak. Kenapa panggil saya Rees? Saya tak ingat sangatlah. Betul ke orang yang awak nak lawat tu, saya?”
Saya? Tak kenal? Rees?
“Saya silap kot,”
Aku berlari keluar. Takungan air mata ini kecundang juga. Belakang pintu tempat luahan. Aku pernah berharap aku tidak pernah langsung mengenalinya. Persahabatan ini menyakitkan. Tapi? Dia dimakbulkan dengan permintaan aku? Mainan apa pula kali ini. Oh, tuhan. Segalanya pasti ada sesuatu yang tersembunyi jauh. Kuatkan aku, sekurang-kurangnya untuk tidak menangis lagi.

 

*********************************************************************

Getaran berkali-kali telefon bimbitku menjerit pinta dijawab. Aku memandang pensyarah. Jauh dibelakang. Pandangan teliti pula jatuh pada pembantu-pembantu makmal. Selamat barangkali.

Azim? Mimpi apa telefon? Tak pernah-pernah begini. SMSku jarang berbalas. Atas alasan yang sama, ketiadaan kredit. Dunia mobil terkadang mencantas keinginan diri untuk berhubung. Perbezaan naungan telekomunikasi, maknanya nilaian bisa membantut niat.

“Assalamualaikum, hai mimpi apa hang call cek ni??”
Aku ketawa perlahan.
“Syah, Azim tak banyak kredit ni,”
Alasan sama! Tapi, kenapa menghubungiku andai itu alasannya?
“Haris, accident! Dengan lori! Dia mengelak, tercampak tepi jalan. Langgar devider, terhantuk kuat! Setengah jam tadi ambulans hantar. HUSM! Umi abah dia tak tahu lagi. Azim tak tahu parah ke..”
Klik. Senyap. Kredit pasti menghalang lagi. Sekalipun susunan ayat tidak berseni, beritanya aku faham. Jelas. Berita itu? Berita itu? Berita itu? Kaku! Itu gerakku kini. Pucat! Itu wajahku saat ini. Replika cerebrum dihadapan bagai membayangkan kepunyaan Haris. Bagaimana dia? HUSM? Dia kemari? Dendam? Argh!! Persetankan dia!! Tapi hatiku tegar menidakkan dendam. Aku pasti itu.
Aku berlari keluar. Tanpa menoleh. Tanpa berfikir melainkan kotak ingatanku melayarkan wajah kacak milik lelaki bernama Haris. Berganti, berselang-seli. Bezanya dalam paparan yang berlainan. Betapa aku mencabar diri untuk setandingnya. Sekadar mengikut amukan hati bertahun dikecewakan dia. Logikkah lakuku?
“Syah!!”
Panggilan sahabat seangkatan tidak mampu menahan larian yang makin laju. Maaf. Aku tidak punya masa menghuraikan. Aku tidak tahu apa pandangan pensyarah. Tapi aku pasti semuanya terkejut kerana tindakanku. Mereka akan faham. Pasti faham. Tapi bukan sekarang. Nanti. Dan nanti itu mungkin jadi mungkin.

Terasa jauh saat kaki membina langkah. Dari makmal, aku teruskan berlari. Sesekali berhenti melayan kehendak paru-paru pinta diganti oksigen yang makin berdikit kurang. Bukan aku tidak perasan mata-mata pelik melihat tarian langkahku. Jika aku ditempat mereka, pasti juga mataku melirik ganjil. Apakan daya.

Sayup terdengar nyaringan ambulans. Pantas jantungku seakan berhanti berdegup. Diakah? Hampir setahun aku tidak bertemu, dan bila saatnya tiba, hatiku haru. Bagaimana kalau dia parah? Bagaimana kalau dia tempang? Bagaimana kalau dia, dia, dia mati? Argh!! Akan hilangkah tawa Haris yang mengganggu lenaku? Akan pudarkah senyuman lagaknya iringi mimpiku? Akan lenyapkah tegurannya marahkan silapku? Akan hilangkah? Sekalipun hampir setahun aku menghilang. Hampir 360 hari dia membiarkan aku kecamuk dengan hidupku. Sekurang-kurangnya aku tahu dia masih wujud atas dunia. Masih menghirup udara yang sama denganku. Masih kekal memandang bulan bintang. Bahkan tetap merasa terikan mentari yang serupa. Bagaimana kalu dia sudah tiada. Dalam benciku, dia juga sainganku. Sehingga aku megah disini. Oh, tuhan. Silapkah dendam itu?
Lamunanku mati. Melihat orang kukenali turun dari van putih milik HUSM itu. Terasa ketar lutut, namun aku gagahkan juga ke sana. Kecekapan staff HUSM memindahkan dia, berkejar membawanya ke dalam dan van berlalu. Semunya senyap dan pantas. Namun senyap itu juga menghadiahkan debaran hati tanpa nokhtah. Aku bergerak laju juga. Mengikut ke mana dia di bawa. Sekadar dari belakang. Aku perasan dua lagi mengikut. Pasti kawan dia. Lama aku meneliti. Membina keberanian untuk menegur. Aku seakan kenal lelaki ini.
“Assalamualaikum, Adamkan? Awak mungkin tak kenal saya. Tapi saya kenal awak. Melalui friendster Haris. Saya Syah. Semuanya ok, kan?”
Aku perasan kening manusia bernama Adam sedikit berkerut. Baju putihnya turut sama berlumuran darah. Entah darah dia atau darah Haris atau darah siapa. Tiba-tiba dia menangis. Makin kuat. Aku tergamam. Yang seorang lagi turut sama. Bezanya cuma dia lebih tenang.
“Aku yang support dia suruh berlumba! Aku yang panaskan dia suruh accept betting tu! Aku yang provoke dia suruh modified motor tu. Aku yang salah. Dia ikut cakap aku. Kalau tak, mesti tak jadi macam ni! Aku tak tahu nak buat apa. Aku tak tahu. Aku tak tahu!! Syah, tolong aku. Haris ada cerita pasal kau. Dia pernah sebut kau ada kat sini. Azim bagitahu kau pun sebab aku suruh. Aku takut. Mak bapak dia tak tahu lagi. Aku tak tahu nak buat apa!! Aku tau kau dah tak nak tahu apa-apa pasal Haris. Tapi, aku tak tahu kenapa aku nak kau tahu,”
Tanpa sedar air mata aku terus menitis tanpa simpati. Aku tipu aku dah tak nak tahu apa-apa pasal Haris. Selama ni aku tipu aku buat tak reti yang aku ada kawan bernama Haris. Atas satu sebab. Dendam! Aku sayang dia lagi. Dia malaikat aku dulu. Aku nak
sekarang dan selamanya.

“Adam, yang lepas tu biarlah lepas. Kita kena fakir yang lepas ni..”

“Maaf. Boleh saya tahu siapa saudara mara dia? Parents dia mana?”
Semua senyap. Perbualan terganggu.
“Parents dia tak tahu lagi. Kami kawan dia. Saya cuba hubungi keluarga dia. Kenapa? Ada yang tak baik berlaku ke?”
Muka Dr. Hisyam, menurut tag nama di bajunya berkerut.
“Tolong hubungi cepat,”
Terus dia berlalu. Musykil. Aku jadi pucat. Muka Adam bertukar keruh.
“Aku tak ada nombor telefon bapak dia. Haris tinggal telefon kat rumah sewa. Wallet dia pun sama,”
Pantas Adam mendial entah siapa bertanyakan itu ini. Boleh dikatakan keseluruhan nombor penting Haris aku ada. Termasuk ibu ayahnya. Kalau tak kerana dia rajin menggunakan telefon mereka, tak mungkin aku ada. Cuma aku takut. Tanpa alasan entah kenapa perasaan itu bertandang.
“Saya ada,” akhirnya.
Serentak Adam dan kawannya memandangku.
“Ada?”
“Ya, ada,” aku tunduk terus menggerakkan ‘keypad’ mencari. Lantas aku unjukkan padanya.
“Syah cakapkan. Tolong,”
Oh tuhan. Demi Haris. Demi dia. Matipun aku rela. Perlahan butang ‘OK’ aku tekan. Memandang Adam dan seorang lagi silih berganti.
“Assalamualaikum. Encik Zamani ye? Saya Syah. Kawan Haris. Maaf ye, ada berita buruk terpaksa saya bagitahu. Haris..Haris…Haris..”
Aku tidak sanggup.
“Ya, pakcik ayah dia. Kenapa Haris,”
“Haris accident. Sekarang dekat ICU. Saya tak tahu selanjutnya. Doktor nak bercakap dengan parents dia. Kebetulan saya ada nombor Encik Zamani, jadi saya..”
“Dia dekat mana sekarang?” nada berbunyi cemas menekanku.
“HUSM,”
Klik. Talian putus. Aku tahu, aku harus menunggu. Menunggu kehadiran ayah dia. Menunggu entah apa kisah selepas ini. Menunggu adakah aku akan berbaik semula. Menunggu Haris. Ya, menunggu dia sebenarnya.

 

*************************************************************************

Debaran hatiku rancak bergendang. Mataku jatuh pada kereta CRV meluncur masuk. Aku tahu siapa dan aku hanya mampu berharap semuanya akan tenang. Sekalipun aku sendiri gagal menerbitkan perasaan itu.

Aku bermonolog sendiri. Entah apa yang aku perlu lakukan. Aku buntu. Dikejauhan, aku perhati lelaki yang menjadi ayah pada insan yang aku ingin miliki hatinya menghampiri. Selebihnya, aku mempercepatkan langkah mendekati. Kerutan dimukanya jelas memberi dua makna. Dimanakah aku? Atau bagaimanakah anaknya. Dimanakah aku kerana kesilapannya begitu pantas menghentikan perbualan tanpa bertanya begitu begini. Dan bagaimanakah anaknya atas dasar kemalangan yang menimpa Haris.
“Encik Zamani? Saya Syahida, yang telefon tadi,”
Senyap. Aku tau dia masih tak keruan.
“Saya bawakan pakcik ke wad Intan. Haris kat situ,”
Terbit anggukan. Cukup melegakan.
Aku berjalan beriringan. Sepatah dua dia bertanya, dan sepatah dua jualah aku menjawab. Begitulah sebaliknya. Selebihnya, hanya sunyi mengiringi langkah. Aku hampir terlupa kehadiran wanita disampingnya. Aku kenal kedua-dua mereka. Betapa aku juga pernah beharap mereka bakal bertaut hubungan denganku kelak. Hampa. Kecewa. Masa menafikan cinta. Sebagaimana, hati mengunjukkan benci, tiada tepi. Oh, tuhan.
“Zam, aku dah agak dah anak kau yang accident. Aku takut aku silap,”
Setepat kaki aku melangkah ketempat aku ketemu Dr Hisyam, setepat itulah barangkali agakan dia yang aku dan ayah Haris sampai.
“Haris macam mana? Cik tu degil! Tak pernah nak dengar cakap aku. Aku tak sangka pula degil dia sampai macam ni. Aku tak tahu..”
“Zam, yang dah lepas tu biarlah. Sekarang ni ada masalah yang lagi besar. Aku harap kau tenang setenang aku berusaha nak selamatkan Haris. Blood type Haris O, aku dah check the whole of your family, all of them are either type A or B. Maybe blood type kau AO and isteri kau BO. So, Haris is the only one who get O. HUSM kekurangan darah O and for sure family kau tak boleh membantu. Kau ade saudara jauh- jauh ke? Yang mungkin boleh derma,”
Sekalipun aku berada jauh dari perbincangan itu, aku dapat menangkap satu persatu tentang apa yang menjadi kegusaran. Keterangan itu bukan sahaja menggugat ketabahan ayah dan ibu Haris. Bahkan keterangan itu mematahkan ketabahanku yang hampir punah. Dugaan ini seakan bakal menghilangkan Haris dari aku, dari ibu, ayah dan keseluruhan insan yang menyayangi dia. Itu pasti dan amat mesti. Tapi, bagai ada suatu hikmah seolah Allah ingin benarkan aku menjadi sebahagian dia, atau dia sebahagian aku.
“Aku akan usaha juga cari, dan pada masa yang sama cuba kau tanya ahli keluarga kau. Kita kena cepat, otherwise..”
“Mine is O,” aku mencelah.
Sekali lagi keadaan bisu sebentar.
“You want to donate your blood?”
Aku tersenyum.
“And even whole of my life, if it’s needed,”
Kali ini wajah ayah Haris yang berkerut. Bukan setakan dia. Adam dan kawannya turut membeliakkan mata. Kenapa? Aku terlalu yakin? Terlalu pasti? Terlau baik? Atau sekadar ingin menunjuk? Sebenarnya, hanya satu. Aku terlalu sayang.
“Syahida, pakcik tak tahu macam mana rapat awak dengan cik. Dan pakcik tak tahu apa yang ada antara antara kamu berdua. Tapi, Syahida pasti ke apa yang yang Syahida cakap?”
Bunyinya seakan tidak yakin. Aku hanya tersenyum. Menggangguk tidak, menggeleng juga bukan.
“Saya tak perlukan kebenaran sesiapa untuk membuat tindakan ini. Bahkan saya memilihnya dalam keadaan yang waras dan sedar. Saya bukan apa-apa dan bukan siapa-siapa dalam diri anak pakcik. Tapi dia adalah salah seorang yang saya ingin terus berpijak di muka bumi ini seandainya saya mampu. Sejujurnya, anak pakcik pernah jadi dan masih seorang yang penting dalam diri saya. Dia selalu tolong saya dulu, dan sekarang dah tiba masa saya membalas budi,”
Bukan sekadar ayah Haris terdiam. Semua yang berada disitu turut terpegun. Barangkali susunan ayatku terlalu unik. Barangkali.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“Kau ni, jadilah perempuan sikit! Orang pun dah panggil kau Syah. Kan sedap kalau Syahida,”

Aku rindukan teguran Haris.
“Rees?? Manalah kau dapat idea eja nama aku macam tu? Tapi, oklah. Kalau kau hantar mesej, aku dah kenal. Kaulah orangnya,”
Aku mahukan ingatan itu.
“Tak selesai kerja kalau kau asyik menangis je. Masalah yang datang kita kena hadapi, bukan lari!”
Aku inginkan nasihatnya lagi.
“Kau ni kick apa macam orang tak makan. Tak menanglah kau kalau tournament kau buat macam ni. Lain kali kick macam ni,”
Sekalipun sakit tendangan itu, aku mengharapkannya lagi.
“Ei, bodoh betul! Yang ni pun tak boleh buat. Semua nak berajar,”
Cakaplah apa sekalipun. Aku rela menelan. Karana disebalik kekasaran, ada teguran yang ikhlas disitu. Dan aku amat pasti. Tangisan aku makin menjadi. Oh tuhan, segalanya ada hikmah yang Engkau janjikan. Tabahkanlah aku untuk sampai pada hikmah itu. Bagaimana rindu pun yang aku rasa, aku bukan sesiapa lagi. Dia tidak tahu, tidak ingat dan seringkasnya aku seolah tidak pernah lahir dalam hidupnya. Untuk apa aku berharap lagi?
Hanya satu aku boleh berbangga,. Dalam dirinya, ada aliran darahku. Sekurang-kurang aku masih wujud sekalipun otakknya menafikan kehadiranku. Memadam segala memori yang pernah ada. Membuang segala kenangan yang pernah bercambah.
“Kak,”
Lamunanku mati. Berdiri Haikal, adikknya. Antara yang terapat denganku.
“Cik panggil akak,”
“Cik dah ingat?” Pantas aku bertanya. Sedikit berbunga.
“Tak,” Dan terus layu bungaku.
“Then kenapa?”
“Entah,”
Kali ini atas sebab apa dia memanggilku. Bukankah tadi dia juga yang menghalauku? Dan apa pula sekarang? Namun aku tetap meneruskan langkah. Mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Aku takut andai hati aku yang bernanah dan makin berdarah terus parah. Rasanya sakit. Teramat sakit. Benarlah antara lelaki dan perempuan jarang boleh bertaut rapat. Kelak akan ada rasa lain yang mengundang. Sama ada salah satu yang terluka, atau kedua-duanya atau bahagia penghujungnya. Tiada siapa tahu. Tiada siapa pasti. Hanya satu, pengatur di atas sana. Pencipta segala-galanya. Termasuk perasaan ini. Yang hancur berulang kali.

“Haris, awak nak jumpa saya ke? Kenapa?”

“Panggillah saya Rees. Macam awak panggil tadi. Saya rasa, saya suka nak dengar lagi.”
Sudah gila barangkali? Sekejap benci. Sekejap suka. Sekejap ingat, sekejap lupa.
“Bukan awak benci?”
“Maaflah. Saya rasa awak dah tahukan saya accident. Ingatan saya Allah dah tarik. Saya sendiri tak tahu bila DIA akan pulangkan kembali. Ataupun tak akan pulang langsung. Ayah saya bagitahu awak antara yang selamatkan saya. Darah awak mengalir dalam tubuh saya sekarang. Terima kasih. Tapi, lain pula saya layan awak. Awak menangiskan?”
Senyap. Tiada ayat ingin aku lontarkan.
“Kalau awak masih terasa. Awak boleh terus berdiam macam sekarang. Saya tak tahu apa kisah kita sebelum ni. Tapi, dari cerita Haikal, Adam, Azim and kawan-kawan yang lain, saya rasa seronok untuk alaminya lagi. Saya rasa awak pernah sebahagian dalam hidup saya dulu. Tapi, saya tak tahu apa yang berlaku, dan saya minta maaf untuk itu”
Perlukah aku ungkit dan keruhkan?
“Syah?”
Syah?
“Itu apa yang saya panggil awak dulukan? Awak boleh tipu yang awak tak menangis, tak sedih, tak fikir apa-apa. Tapi, awak tak boleh tipu mata awak. Dan saya dapat baca itu,”
Seperti dulu? Aku menarik nafas. Dalam.
“Kita kawan balik macam dulu? Cuma kita kena mulakan semula. Saya tak tahu siapa salah, dan siapa yang betul dengan kisah kita dulu. Tapi sekarang kita dua-dua tak salah. Innocent! Bolehkan?Awak ajarlah saya, ops, kau ajarlah aku. Bolehkan, syah?!”
Ya Allah, apakah ini hikmahnya. Aku tersenyum. Dan aku yakin air mataku sedang menitis. Oh tuhan, besarnya perancanganmu. Tanpa sedar aku mengangguk. “Boleh, dan selalunya boleh. Dan ajaran pertama. Kau cakap terlalu lembut. Kau selalu cakap ganas-ganas dengan aku!”
Dan, dia ketawa. Dan aku tersenyum. Dan kami gembira.
This innocence is brilliant, I hope that it will stay,
This moment is perfect, Please don’t go away,
I need you now, And I’ll hold on to it,
Don’t you let it pass you by,
I found a place so safe not a single tear,
The first thing in my life and now it’s so clear,
Feel calm, I belong, I’m so happy here,
It’s so strong and now I let myself be sincere,
I wouldn’t change a thing about it, this is the best feeling..~

…cerpen ini saya reka ketika berkhidmat sebagai penulis utk majalah S.P.E.A.K pusat pengajian saya. Cerpen yang sendiri mengajar saya untuk terus berharap dan yakin dengan ALLAH untuk setiap satu harapan itu. Namun, apapun takdirnya nanti, DIA ada perancanganNYA yang tersendiri…

I.N.F.I.N.I.T.Y

 

Advertisements

~ oleh INFINITY di Mac 26, 2008.

2 Respons to “…INNOCENCE!”

  1. cerita ni best sangat..tapi kenapa watak dua2 cerpen huda sama ye? sya, syahida, haris, rees.. 🙂

    the truth is..i put myself to make it the story such a real story..
    Kalau perasan, my name is syahidatul huda..ada sedikit nama saya di situ. Cuba menghayati dengan menjadikan watak itu diri saya. Saya tgh cuba buat novel. tapi banyak tertangguh. Besides, buat novel banyak publisher jarang bg guna ‘aku’, susah nak reka ayat menggunakan ‘dia’.. terima kasih membaca..dan mengomen…=)

    yet, saya masih tidak bijak mengarang..

  2. nice cerpen…
    mudah untuk saya memahami jalan cerita…
    memang berbakat…
    Tahniah!!!!

    terima kasih..=)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: